SEJAK menceburkan diri dalam karier nasyid sejak 10 tahun lalu, kumpulan Raihan terus mendapat pengiktirafan menyampaikan mesej dakwah menerusi hiburan dalam dan luar negara.
Ketika insan lain seronok dan teruja berhari raya bersama keluarga tercinta, kumpulan nasyid terunggul tanah air ini sanggup meninggalkan suasana lebaran ini demi membuktikan komitmen mereka menyebarkan syiar Islam.
Pada hari raya kedua lalu, belum puas menyambut Aidilfitri, Raihan ke Dubai untuk menerima anugerah nasyid antarabangsa yang diadakan pada 26 Oktober lalu.
Raihan yang ditubuhkan pada 1996 kini dianggotai Che Amran Idris, Nordin Jaafar, Amran Ibrahim dan Abu Bakar Md Yatim sudah pun menghasilkan lapan album sepanjang sedekad pembabitan mereka dalam bidang seni suara.
Ketua kumpulannya, Che Amran berkata, walaupun terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga pada hari raya, ia bukanlah sesuatu yang asing bagi mereka. Malah sudah acap kali kumpulan ini berpisah dengan keluarga mengadakan persembahan di luar negara termasuk pada hari yang bersejarah itu.
“Anugerah khas yang diberikan ini sebagai menghargai pembabitan kami sebagai artis nasyid pertama yang memperjuangkan nasyid secara profesional dengan menyampaikan dakwah melalui nasyid ke seluruh dunia.
“Acara yang diberi nama Mahabba Award, Art Of Love itu berlangsung di Binayas Ballroom, Grand Hyatt Hotel Dubai. Anugerah yang julung kali diadakan ini membabitkan beberapa kumpulan nasyid terpilih dari seluruh dunia,” katanya.
Raihan adalah satus-atunya kumpulan nasyid dari Asia yang dipilih untuk menerima pengiktirafan di anugerah berkenaan. Penasyid lain yang turut menyertai pengiktirafan ini datang dari Amerika, Eropah dan Afrika Selatan.
Pada anugerah yang berlangsung selama dua hari pada 25 dan 26 Oktober itu, setiap kumpulan menyampaikan sebuah lagu terbaik mereka daripada lagu selawat ke atas Rasulullah. Raihan menyanyikan lagu Balada Selawat secara langsung yang dipetik dari album Syukur.
Posted on Sunday, November 26 @ 13:07:08 EST by khazanah
Login
Don't have an account yet? You can create one. As a registered user you have some advantages like theme manager, comments configuration and post comments with your name.